15/11/2015

pendapat


Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.
Bincangkan pendapat anda tentang kepentingan pelaksanaan dasar tersebut.


PT3 (Bahagian Karangan)

Assalamualaikum


Karangan ini merupakan salah satu contoh karangan yang bertepatan dengan tema yag diberi
Semoga dapat menjadi panduan kepada para pelajar. InsyaAllah


PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBENTUKAN DISIPLIN ANAK-ANAK DALAM MEBENTUK MASYARAKAT YANG CEMERLANG




          Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Demikianlah satu proklamasi yang menggambarkan kepentingan golongan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi Y dalam menerajui kepimpinan negara suatu ketika nanti. Namun, sayang seribu kali sayang, dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan sahmura ini. Menurut kajian yang sahih antara masalah yang membabitkan golongan ini sehingga menjadi buah mulut orang ramai dan menimbulkan kontroversi  ialah gejala vandalisme, buli, gangsterisme dan entah seribu satu macam lagi gejala. Adakah salah ibu yang mengandung atau bapa yang mendukung? Oleh itu, keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial lantaran institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Persoalan yang bermain di ruang legar minda kita ,  apakah peranan yang perlu dilaksanakan oleh institusi keluarga dalam menangani masalah yang menjadi duri dalam daging ini.


Peranan yang dianggap dominan ialah golongan ibu bapa wajar mencurahkan kasih  sayang kepada anak-anak mereka. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana ibu bapa bertanggungjawab  mengasuh anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan atau materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan urusan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Sebagai uswah, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama dengan anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sedar  bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sudah terang lagikan bersuluh, ibu bapa perlu mengimbangi kepentingan keluarga dan tuntutan kerjaya  kerana anak-anak  amat memdambakan kasih sayang seorang bapa dan ibu.           


        Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata!  Lantaran itu, ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral mampu mendorong remaja  membezakan antara intan dengan kaca lantas melatih remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna.Secara analoginya, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil  kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justifikasinya, didikan agama yang dibekalkan dapat memastikan  anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam kancah maksiat atau  tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.          


 Peranan terakhir yang juga dianggap signifikan termasuklah  ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Oleh hal yang demikian, Ibu bapa  perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa mereka merupakan cermin kepada anak-anak. Cuba kita bayangkan, dapatkah ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok  mendidik  anak-anak mereka agar tidak merokok juga? Tepuk dada tanya selera! Ghalibnya, ibu bapa perlulah mengatasi setiap kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah pada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh yang anaknya berjalan betul.  Izharnya, melalui contoh yang baik, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.          
  Sebagai penutup wacana, gejala sosial yang menjadi api dalam sekam perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana api kecil baik dipadam. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan ampuh bagi memastikan golongan remaja tidak akan dijangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, mereka perlu dibimbing agar  menjadi modal insan  yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan dan bukan retorik semata-mata.

03/02/2012

UNIT 8: Bahagian 3: Obesiti dan Pencegahannya


Jika dilihat pada topik di atas, terdapat pelbagai cara pencegahan untuk mengelakkan seseorang daripada tergolong sebagai salah seorang yang menghadapai masalah obesiti.
Antara langkah yang boleh diambil ialah melalui program budaya pemakanan sihat. Berdasarkan program tersebut, kita akan dapat mengetahui kesan dan tahap kandungan kalori sesuati jenis makanan dan minuman.
Amalan pemakanan seimbang harus dijadikan lumrah hidup agar kita tidak menderita lantaran menghadapi gejala kekurangan atau berlebihan nutrient tertentu. Jadikan prinsip “ makan untuk hidup “ dan bukan “ hidup untuk makan “ akan menjadi pegangan hidup kita.
Fikirkan kerana anda penentu tahap kesihatan anda


                                                             
                                                                  

                                                                            
                                                                                    Hasilnya 

                             
                                                                

02/02/2012

UNIT 8, Bahagian 2: Remaja dan Kesihatan

Tajuk yang dipilih ialah keburukan makan makanan segera dan aktiviti yang dilakukan ialah pelajar dikehendaki membuat rumusan.

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah  dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan kesan-kesan makan makanan segera . Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Keburukan Makan makanan Segera

Setiap hari iklan di televisyen memaparkan iklan makanan dan minuman segera yang berjaya menarik hari kanak-kanak. Sehinggakan kanak-kanak lebih mengenal KFC, McDonald, Pizza, BurgerKing, Coca-Cola, dan FN daripada makanana ruji rakyat Malaysia. Makanan dan minuman ini mengandungi perasa, pengawet, dan pewarna. Ada juga iklan makanan ringan ini yang mengeksploitasi unsur pendidikan dan riadah sebagai pelaris barangan mereka.
 Kenyataannya, kehadiran makanan ringan ini akan menjejaskan proses pembelajaran, kerana perhatian kanak-kanak akan lebih bertumpu pada rasa makanan dan hadiah yang diberikan. Menurut pakar pemakanan, makanan ringan membazir wang ringgit kerana tidak menyumbang kepada pembekalan khasiat dan zat terhadap kanak-kanak. Memang rasanya sedap, tetapi tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak mendatangkan kesan negatif kepada mereka yang memakannya.
Malahan, sebenarnya makanan segera mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang iaitu dikenal pasti sebagai agen utama kepada masalah kesihatan, seperti kanser, kerosakan gigi, obesiti, dan jantung berlubang. Misalnya, satu kajian yang pernah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan terhadap kanak-kanak sekolah menunjukkan 89 peratus daripada mereka mengalami kerosakan gigi, 60 peratus diserang penyakit gusi dan 20 peratus lagi berada di tahap serius dan memerlukan rawatan doktor gigi. Penggunaan bahan pengawet dalam makanan segera banyak member kesan buruk terhadap kesihatan disebabkan makanan segera dibubuh bahan pengawet dalam kuantiti yang tinggi kerana diproses dan diawet untuk memastikannya tahan lama.
Selain itu, kandungan lemak dalam makanan segera juga lebih tinggi berbanding bahan mentah biasa. Memakan makanan segera dalam kuantiti tidak terkawal akan mendedahkan kita kepada pelbagai jenis penyakit. Dari aspek kewangan pula, kehadiran makanan ringan menjejaskan semangat menabung dalam kalangan kanak-kanak, yang leih gemar menghabiskan wang persekolahan mereka untuk membeli makanan ringan. Kajian di luar negara mendapati kanak-kanak yang banyak memakan makanan segera mengalami gejala enggan mematuhi arahan.
Amat jelas kepada kita selaku pengguna bahawa ancaman makanan ringan ini mampu melahirkan perwatakan kanak-kanak bersifat agresif dan suka berlawan. Peranan pihak kerajaan adalah cukup penting untuk membendung masalah ini. Kementerian Kesihatan harus mengusulkan larangan atau mengehadkan iklan makanan tidak sihat untuk kanak-kanak. Langkah bijak ini perlu dilaksanakan segera agar dapat membantu masyarakat terutama kanak-kanak mengamalkan gaya hidup sihat. Pihak media jangan hanya meletakkan keuntungkan sebagai prioriti tetapi kesedaran dan pengetahuan yang perlu dijana kepada pengguna dalam soal diet dan pemakanan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Penduduk Kita Makan 1.2 Bilion Mi Segera Setahun”, oleh Nur Firdaus Abdul Rahim, Berita Harian, 26 Mei 2010)

Berdasarkan petikan ringkasan, jawab soalan-soalan yang terikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

  1. Berikan maksud melahirkan perwatakan. (2 markah)

  1. Apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk mengatasi sikap kanak-kanak yang suka memakan makanan segera? (3 markah)

  1. Pada pendapat anda, mengapakah ibu bapa suka membawa anak-anak ke restoran yang menyediakan makanan segera? (4 markah)

UNIT 8, Bahagian 1: Gaya Hidup Sihat

Cikgu akan memberikan contoh karangan berpandu berdasarkan tajuk yang terdapat dalam UNIT 8: BAHAGIAN 1.
Tajuk yang akan dibincangkan ialah cara-cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Klik gaya hidup sihat di sini untuk melihat soalan.

CONTOH KARANGAN BERPANDU

Marcapada, sering kita lihat di media-media massa akan perihal kesihatan yang kini diambil ringan oleh masyarakat. Rakyat Malaysia masih tiada kesedaran walaupun pihak kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit untuk menyedarkan mereka supaya mengamalkan gaya hidup sihat. Cara-cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat ini tidak begitu sukar untuk diamalkan serta tidak menggunakan kos yang mahal.
Antara cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat ialah kita harus melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Faedah apabila aktiviti riadah dilakukan ialah kita dapat mengeluarkan toksik-toksik di dalam badan melalui peluh. Hal ini menjadikan kita menjadi lebih bertenaga dan kelihatan segar. Oleh itu, cubalah mengajak ahli keluarga untuk beriadah. Di samping dapat menjaga kesihatan, kita juga turut dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Selanjutnya, kita boleh melakukan pemeriksaan doktor dua kali setahun untuk memeriksa tahap kesihatan kita. Kos untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tidak begitu mahal berbanding dengan kos rawatan penyakit. Oleh itu, kita harus melakukan pemeriksaan doktor untuk mengetahui kondisi badan kita serta melakukan langkah pencegahan awal jika mempunyai tanda-tanda awal penyakit.
Tambahan lagi, masyarakat Malaysia perlu mengamalkan amalan pemakanan yang seimbang supaya masalah obesiti di negara kita dapat dikurangkan. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang obesiti perlu mengawal pemakanan mereka. Janganlah hendak bertindak apabila kita telah mendapat penyakit, bak kata pepatah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Konklusinya, masyarakat haruslah mengamalkan gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan mereka tidak terjejas. Sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, pelbagai masalah dapat dikurangkan sekaligus mampu menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang kurang mempunyai masalah penyakit-penyakit kronik.
                                                                                                            (248 patah perkataan)
KOSA KATA MENARIK
Marcapada                            - Dewasa
Kondisi                                  - Keadaan
Konklusi                                - Apa yang dapat disimpulkan
Obesiti                                    - Kegemukan
Hasil karya : Wan Izzah Binti Wan Shamshudin

01/02/2012

UNIT 8 : GAYA HIDUP SIHAT

Berikut adalah antara isu yang boleh dijadikan topik perbincangan dalam kelas atau tajuk karangan berdasarkan Unit 8 buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4
- Kesihatan asas kebahagian
- Merokok
- Faktor-faktor  pelajar merokok
- Rakyat sihat negara sejahtera
- Gaya hidup sihat
- Penyediaan dan penjualan makanan di kantin sekolah yang tidak sempurna dan tidak sihat meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada murid-murid
- Kewujudan restoran makanan segera banyak mempengaruhi corak hidup masyarakat
- Keburukan makan makanan segera
- Cara-cara menjaga kesihatan
- Kepentingan kesihatan
- Kesan buruk obesiti
- Amalan-amalan remaja yang sihat
- Penjagaan makanan seimbang untuk kesihatan badan
- Cara-cara mengurangkan obesiti
- Pelancongan kesihatan