02/02/2012

UNIT 8, Bahagian 1: Gaya Hidup Sihat

Cikgu akan memberikan contoh karangan berpandu berdasarkan tajuk yang terdapat dalam UNIT 8: BAHAGIAN 1.
Tajuk yang akan dibincangkan ialah cara-cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Klik gaya hidup sihat di sini untuk melihat soalan.

CONTOH KARANGAN BERPANDU

Marcapada, sering kita lihat di media-media massa akan perihal kesihatan yang kini diambil ringan oleh masyarakat. Rakyat Malaysia masih tiada kesedaran walaupun pihak kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit untuk menyedarkan mereka supaya mengamalkan gaya hidup sihat. Cara-cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat ini tidak begitu sukar untuk diamalkan serta tidak menggunakan kos yang mahal.
Antara cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat ialah kita harus melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Faedah apabila aktiviti riadah dilakukan ialah kita dapat mengeluarkan toksik-toksik di dalam badan melalui peluh. Hal ini menjadikan kita menjadi lebih bertenaga dan kelihatan segar. Oleh itu, cubalah mengajak ahli keluarga untuk beriadah. Di samping dapat menjaga kesihatan, kita juga turut dapat meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Selanjutnya, kita boleh melakukan pemeriksaan doktor dua kali setahun untuk memeriksa tahap kesihatan kita. Kos untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tidak begitu mahal berbanding dengan kos rawatan penyakit. Oleh itu, kita harus melakukan pemeriksaan doktor untuk mengetahui kondisi badan kita serta melakukan langkah pencegahan awal jika mempunyai tanda-tanda awal penyakit.
Tambahan lagi, masyarakat Malaysia perlu mengamalkan amalan pemakanan yang seimbang supaya masalah obesiti di negara kita dapat dikurangkan. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang obesiti perlu mengawal pemakanan mereka. Janganlah hendak bertindak apabila kita telah mendapat penyakit, bak kata pepatah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Konklusinya, masyarakat haruslah mengamalkan gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan mereka tidak terjejas. Sekiranya masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, pelbagai masalah dapat dikurangkan sekaligus mampu menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang kurang mempunyai masalah penyakit-penyakit kronik.
                                                                                                            (248 patah perkataan)
KOSA KATA MENARIK
Marcapada                            - Dewasa
Kondisi                                  - Keadaan
Konklusi                                - Apa yang dapat disimpulkan
Obesiti                                    - Kegemukan
Hasil karya : Wan Izzah Binti Wan Shamshudin

No comments:

Post a Comment